Sunday, November 18, 2007

KENDURI KAHWIN- wajibkah?

18 NOVEMBER 2007

بسم الله الرحمان الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


WAJIB HADIR MAJLIS KENDURI KAHWIN

SOALAN: Dalam kehidupan bermasyarakat, kita selalu mendapat jemputan kenduri kahwin. Kadang-kadang dalam sehari, dua atau tiga jemputan diterima terutama pada musim cuti sekolah. Apakah hukum menghadiri kenduri kahwin?

JAWAPAN: Dalam ajaran Islam, menghadiri majlis kenduri perkahwinan, jika dijemput, adalah satu kewajipan. Berdasarkan hadis Rasulullah, kalangan ulama menghuraikan dengan panjang lebar mengenai jenis kenduri dan hukum menghadirinya sama ada wajib, makruh, haram atau harus.

Pada umumnya, kenduri terbahagi kepada dua jenis, iaitu kenduri kahwin dan bukan kenduri kahwin seperti kenduri atau jamuan kesyukuran atau jamuan hari raya.

Menghadiri jemputan dan undangan kenduri kahwin adalah fardu ain, iaitu wajib ke atas setiap individu yang diundang.

Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim bermaksud: "Apabila seorang daripada kamu diundang menghadiri kenduri kahwin, maka hendaklah dia menghadirinya."

Imam Muslim juga meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud: "Seburuk-buruk makanan (hidangan) ialah hidangan walimah (kenduri) yang dijemput orang kaya sahaja, sedangkan orang miskin tidak dijemput. Dan sesiapa tidak memenuhi jemputan (undangan), maka dia menderhakai Allah dan Rasul-Nya."

Berdasarkan hadis sahih itu, jelas menunjukkan bahawa menghadiri jemputan dan undangan kenduri perkahwinan hukumnya wajib. Bagaimanapun, kalangan ulama berpendapat bahawa hukum wajib itu bergantung kepada syarat-syarat tertentu.

Pertama: Yang menjemput atau mengadakan kenduri perkahwinan itu orang Islam.

Kedua: Orang yang dijemput adalah me-nyeluruh tanpa mengira bulu atau kedudukan, yakni tidak membeza-bezakan yang kaya dan miskin.

Ketiga: Jemputan ke majlis perkahwinan itu dibuat secara khusus kepada setiap orang bukan secara umum, sama ada dengan cara menemuinya, melalui kad jemputan atau melantik wakil untuk menjemputnya. Sekiranya jemputan dibuat secara umum seperti berkata atau membuat iklan menjemput penduduk sesuatu tempat itu ke majlis itu, maka tidak wajib menghadiri jemputan berkenaan.

Keempat: Pada lahirnya segala perbelanjaan untuk mengadakan majlis itu daripada wang yang halal.

Kelima: Tidak terdapat di majlis itu orang yang menyakiti orang yang dijemput.

Keenam: Tidak ada di majlis itu sesuatu yang mungkar seperti arak atau majlis tari menari yang haram.

Ketujuh: Tidak ada jemputan yang lebih awal daripada itu.

Kelapan: Tiada sebarang keuzuran yang menghalangnya hadir.

Kesimpulannya, hukumnya wajib atas setiap orang yang mendapat jemputan ke majlis kenduri perkahwinan untuk menghadirinya jika tidak terdapat satu daripada perkara yang bercanggah dan bertentangan dengan syarat-syarat yang disebutkan.Dengan menghadiri jemputan itu, kita dapat mengeratkan hubungan silaturrahim serta dapat menambah serta memupuk kemesraan, kerjasama, bantu membantu dan mengukuhkan perpaduan sesama kita. Kalau dalam sehari ada dua tiga jemputan, seboleh-bolehnya hendaklah menghadiri jemputan itu. Kalau tidak, hendaklah hadir ke majlis jemputan yang lebih awal diterima.

source
: http://members.tripod.com/~rashid1218/is2.html



****************************************************************************************

Bertemu kembali. Kenapa saya masukkan entry ini? Rasanya semua sudah maklum sekarang adalah musim kenduri kahwin. Boleh dikatakan setiap minggu akan ada kenduri yang perlu dihadiri. Namun adakah wajib bagi kita untuk menghadiri kesemua jemputan yang diterima? Larat ke? Bukan isu larat nak isi perut ataupun tidak, namun perkara-perkara yang lebih penting seperti tertulis di dalam entry di atas adalah lebih perlu dititikberatkan.

Di antara kesemua syarat yang dinyatakan di atas, saya tertarik kepada syarat yang ke-6 iaitu:



Tidak ada di majlis itu sesuatu yang mungkar seperti arak atau majlis tari
menari yang haram.

Fenomena kenduri kahwin di Malaysia nampaknya makin menjurus ke arah hiburan. Kenduri yang sepatutnya diadakan secara sederhana dan penuh nilai-nilai murni kini dicemari dengan budaya hedonisme. Tidak cukup dengan siaran televisyen, radio, internet, malah di kenduri kahwin pun mahu berhibur dengan perkara-perkara yang melaghakan juga?

Memang benar, kenduri kahwin itu sebagai salah satu lambang kesyukuran. Namun, adakah perlu untuk menzahirkan rasa syukur itu dengan perkara-perkara yang tidak disukai Allah?
Andai kenduri kahwin yang diiringi dengan alunan ayat-ayat suci al-Qur'an, pastinya tidak menjadi masalah!(secara peribadi, saya masih belum ketemu situasi seperti ini, kalau dendangan nasyid, memang ada). Yang menjengkelkan, kedengaran irama lagu yang pelbagai genre dimainkan di kenduri perkahwinan. Dalam kita sedar atau tidak, perkara sebegitu sedikit sebanyak telah terikut dengan budaya dari Barat. Ditambah pula dengan nyanyian secara 'live' yang disampaikan penyanyi jemputan (artis rasmi mahupun tidak) dengan pakaian yang tidak menutup aurat, adakah itu dinamakan berhibur mengikut syariat Islam?

Cukuplah dengan 'penjajahan hiburan' yang tidak dapat dielakkan di kaca TV dan media-media yang lain. Jadikanlah kenduri kahwin sebagai majlis yang diberkati dan dirahmati..Manusia memang tidak dapat lari dari hiburan..kerana ia adalah fitrah yang diingini setipa insan..namun kita mesti memilih hiburan yang membentuk rohani, bukan melekakan dan merosakkan anak bangsa! Bak kata kumpulan RAIHAN dalam nasyid dendangan mereka..





Berhibur tiada salahnya
Kerna hiburan itu indah
Namun pabila salah
memilihnya
Membuat kita jadi bersalah..



p/s : saya juga mendapat jemputan ke walimah. Ada 3 undangan walimah yang perlu dihadiri semalam dan hari ini.Namun kesemuanya tidak mampu saya penuhi lantaran jarak yang memisahkan negeri. Hadiah pengganti diri telah diberi, tanda ingatan dari hati nurani.



Selamat pengantin baru buat :


Kak Huda & suami (kakak kepada roommate)

Kak Aween(Azween) & Abg Shahir

Nabilah (Mainboard IRKHS'S) & suami

Semoga berbahagia hingga ke akhir hayat..fid dunya wal akhirah insya Allah ^_^ Mohon maaf dari diri ini yang tidak dapat menghadirkan diri..

wassalam =)

3 comments:

CerminDiri said...

salam kehidupan,

majlis perkahwinan adalah keharusan yang dituntut. namun kekadang salah ditafsir sehingga melencong dari maksud asal.

izzahUlfah said...

Salam..

Betul kata cermindiri. Majlis perkahwinan memang dituntut kerana asbabnya yg tersendiri namun makin hari mejlis perkahwinan yang dilangsungkan nampaknya semakin menjauh dari sunnah Rasulullah s.a.w kerana Rasulullah s.a.w juga mengadakan majlis perkahwinan (walimah) secara bersederhana..

Ada sape2 lagi nak bg pendapat? sila3..jangan malu2 :D

Anonymous said...

salam,

saya setuju dengan hadis ni.

mengadakan majlis, sunat muakkad.

memenuhi undangan majlis walimah adalah wajib..jika semua faktor diatas dipenuhi.

rata2 majlis skrg ni ada unsur2 di atas, paling tidak..hiburan..campur gaul lelaki pompuan..pd ms ni dah tak jadi wajib.