topbella

Sunday, June 05, 2011

.: KESEDERHANAAN DALAM BERIBADAH :.

Assalamu'alaikum..

Minggu lepas, saya sempat berpagi-pagian bersama rancangan Tanyalah Ustaz di TV9. Waktu tu saya masih berada di rumah warden, bertugas untuk menjaga puteri-puteri tingkatan 3 dan 5 yang masih berada di maktab dek mengikuti Studython (extra classes/kem akademik). So, biasa la kan, bila tinggal seorang diri, mula la rasa tak senang duduk. Maka pagi-pagi buta lepas subuh terus pasang TV kuat-kuat supaya meriah sikit rumah warden yang besar tu hehe.

Tajuk yang dibincangkan pada hari itu ialah Kesederhanaan Dalam Beribadah. Memang tertarik dan menarik ;) Jadi, saya dengan merendah diri ingin membuat ‘review’ daripada tajuk yang telah dibincangkan (saya memang suka buat review2 nih hehe). Yang paling utama yang perlu kita fahami daripada tajuk ini ialah apa yang dimaksudkan dengan bersederhana? Sederhana ialah tidak kurang dan tidak lebih. Atau dalam bahasa mudah ialah ‘yang sedang-sedang’. Jadi, adakah itu bermakna kita mesti beribadah secara sedang-sedang saja?

Tidak, ia tidak bermaksud sedemikian. Bersederhana dalam beribadah bermaksud kita beribadah atau melakukan apa-apa ibadah dengan semampu yang boleh, tanpa mengurangkan perkara yang wajib dalam ibadah tersebut. Dengan kata lain, kita melakukan ibadah dengan sepenuh hati dan semampu yang boleh tanpa mengurangkan atau melebih-lebihkan ibadah tersebut.


Contoh yang paling mudah untuk digambarkan ialah tentang solat. Solat ialah perkara wajib. Solat juga merupakan pperintah Allah yang diperintahkan ‘direct’ kepada Nabi Muhammad S.A.W dan merupakan ibadah pertama yang akan dihisab di akhirat kelak. Sebagai seorang Muslim/Muslimah, kita wajib menunaikan solat setiap hari, iaitu 5 kali sehari (Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isya’). Bersederhana dalam menunaikan solat tidak bermakna kita hanya perlu menunaikan solat yang wajib sahaja. Kita digalakkan untuk menunaikan solat-solat sunat yang lain, khususnya solat sunat Rawatib bagi mengiringi solat-solat fardhu yang telah ditunaikan. Solat-solat sunat adalah bertujuan untuk ‘menampung’ sebarang kekurangan atau kelompangan di dalam solat-solat fardhu yang telah kita lakukan. Bersederhana di sini ialah melakukan solat fardhu dan menunaikan solat sunat, qiamullail dan sebagainya namun dengan cara yang berterusan (istiqamah) dan tidak berlebih-lebihan (bida’ah). Ada sesetengah golongan Muslimin yang berlebih-lebih dalam menunaikan solat-solat sunat, iaitu terdapat perbuatan-perbuatan atau perkataan-perkataan yang tidak dilakukan oleh Khatimul Anbiya’. Ini sudah termasuk dalam bida’ah dan bukan lagi bersederhana. Yang paling penting dalam konsep bersederhana dalam melakukan ibadah ialah ISTIQAMAH, iaitu berterusan. Kita melakukan apa-apa ibadah setakat yang termampu namun dalam keadaan berterusan, bukan hanya untuk sejam dua, atau sehari dua sahaja. Melakukan sesuatu ibadah secara istiqamah akan diberi ganjaran pahala yang besar dari Allah, insya Allah :)

Bersederhana dalam beribadah juga bermaksud kita hendaklah bersederhana dalam semua aspek kerana ibadah di dalam Islam terbahagi kepada dua iaitu Ibadah Umum (bekerja, belajar, makan, minum, tidur, dan sebagainya) dan Ibadah Khusus (Solat, puasa, membayar zakat, menunaikan haji dan sebagainya). Kita hendaklah melakukan semua ibadah mengikut syariah (garis panduan) Islam yang sebenar, bukan sekadar mengambil yang wajib atau rukun sahaja.


Islam adalah Islam. Bersederhana dalam beribadah bukan termasuk dalam fahaman Islam Liberal. Ramai umat Islam pada masa kini secara tidak sedar telah terjerumus kea rah Islam Liberal. Apakah Islam Liberal? Ia adalah fahaman yang direka untuk memudahkan golongan-golongan tertentu dalam melakukan sesuatu mengikut kehendak mereka. Golongan Islam Liberal ialah golongan yang hanya mengambil dan mengikut hukum-hakam dalam sesetengah perkara sahaja contohnya dengan hanya menunaikan solat dan berpuasa. Mereka tidak pula mematuhi syariat Islam yang lain seperti berpakaian menutup aurat, menunaikan zakat dan haji. Kononnya, apa yang mereka ikuti itu benar kerana menutup aurat tidak penting, yang penting ialah hati mereka baik dan bersih. Membayar zakat juga tidak penting kerana mereka terlalu sibuk hingga terlupa untuk membayar zakat. Menunaikan haji juga tidak penting kerana masih belum ‘sampai seru’ sedangkan duit di dalam bank berbilion-bilion banyaknya, sudah lebih daripada cukup untuk menyara kehidupan. Inilah reality keadaan umat Islam sekarang, khusunya yang berada di Malaysia. Saya bukannya bercakap kosong, semua contoh ini anda boleh lihat di depan mata.

Masih ada lagi huraian yang lain namun saya rasa inilah antara isi-isi penting yang boleh kita renungkan dan dijadikan pengajaran serta penghayatan bersama di dalam kehidupan kita seharian. Teruskan berISTIQAMAH dalam beribadah, bukan beribadah secara Islam Liberal mahupun secara fundamental (asas) sahaja..Yang sunat itu akan membantu kita, maka lakukanlah ia sebanyak yang boleh, insya Allah..

Sekian sahaja daripada saya untuk kali ini. Mohon maaf seandainya terdapat sebarang kekurangan dalam menitip kata untuk artikel pada kali ini..

Wassalam :)

0 maklum balas:

.: Me Myself and I :.

My Photo
Nurul 'Izzah
المعلمة في م.ر.س.م
View my complete profile